Reka Bentuk Mesingan Lewis

Mesingan Lewis menggunakan operasi gas untuk menggerakkan piston. Sebahagian daripada gas yang terhasil semasa ledakan bahan peletup digunakan untuk menggerakkan mekanisme untuk membuang katrij peluru yang sudah digunakan dan memasukkan katrij baru ke dalam ruang ledakan.

Mesingan Lewis direka menggunakan laras yang dibuat menggunakan salutan aluminium untuk membolehkan udara ditarik masuk ke dalam laras senapang dan menyejukkan mekanisme dalaman, tetapi keberkesanan proses penyejukan ini menjadi bahan perbahasan. Semasa Perang Dunia II, banyak mesingan Lewis yang tidak mempunyai laras salutan aluminium ini digunakan oleh unit-unit anti kapal terbang dalam Pasukan Pengawal Kawasan British (British Home Guard) dan unit-unit pertahanan lapangan terbang didapati dapat berfungsi dengan baik dan tidak mengalami masalah kehangatan laras senapang. Mesingan Lewis tanpa salutan aluminium ini juga digunakan dengan penuh berkesan atas kenderaan di Gurun Barat Sahara (Western Desert) khususnya oleh pasukan SAS. Hanya pasukan Tentera Laut Diraja sahaja yang menekankan penggunaan tiub salutan aluminium ini untuk kegunaannya, walaupun dalam pemasangan dalam kebekuan di kawasan Artik.

Mesingan Lewis menggunakan dua jenis kelopak peluru – satu jenis kelopak mengandungi 47 butir peluru dan satu jenis lagi boleh mengisi 97 butir peluru – jenis ini direka untuk kegunaan dalam kapal terbang. Kelopak besar ini memerlukan penjagaan yang rumit dan sering menyebabkan senjata terhenti akibat kotoran debu, pasir dan sebagainya. Untuk kegunaan pasukan darat, kelopak mengandungi 48 butir peluru digunakan secara meluas. Meskipun mempunyai beberapa kelemahan reka bentuk, mesingan Lewis ini dianggap boleh digantung harap (reliable) jika dibandingkan dengan beberapa jenis mesingan ringan yang lain.